Monday, 21 January 2013

Volkswagen Golf Generasi Ketujuh akan tiba di Malaysia 2013







Volkswagen Golf Mk VII
Bentuk yang menarik



Gaya yang tersendiri
Ruang kabin





SEJAK 30 tahun lalu, sebanyak 29 juta unit Volkswagen Golf sudah pun dijual di seluruh dunia.

  Kehadiran Volkswagen Golf Mk VII menerusi generasi ketujuhnya bakal melonjakkan lagi nama jenama itu di persada peringkat dunia.

  Revolusi kenderaan kompak itu sangat hebat apabila ia sudah mempunyai tujuh varian sejak diperkenalkan 30 tahun lalu.

  Bagi model terbaru yang akan tiba di Malaysia pada tahun ini, ia menerima pembaharuan ketara merangkumi bahagian enjin, ketahanan bentuknya, rekaan dan sistem keselamatan serta teknologi canggih bagi kenderaan kompak.

  Selain bentuk yang menarik, ia dipadankan dengan enjin petrol dengan kapasiti 1.4 liter TSI dengan kod EA211 yang lebih ringan berbanding sebelum ini yang dikenali EA111.

  Perbezaannya merangkumi kedudukan silinder dengan condong ke bahagian dalam dengan anggaran kira-kira 12 darjah.

  Komponen yang diperbaharui termasuklah enjin blok lebih ringan sebanyak 45 peratus, 'crankshaft' (20 peratus) dan rod penyambung bersendi (30 peratus).



Enjin jimat minyak

  Ia mesra alam sekitar apabila melepaskan tahap bahan cemar yang rendah dan jimat minyak tanpa menjejaskan prestasi enjinnya.

  Jentera ini juga lebih ringan 100 kilogram (kg) berbanding Volkswagen Golf Mk VI serta 'disaluti' bentuk aerodinamik yang mampu mengurangkan tahap penggunaan minyak sehingga 23 peratus.

  Pengurangan berat sehingga 100 kg itu membabitkan komponen enjin (40 kg), badan kenderaan (37 kg), kerangka (26 kg) dan sistem elektrik (enam kg).

  Teknologi terbaru yang dinamakan sebagai BlueMotion menjadi penanda aras jenama berkenaan apabila mencatatkan 3.2 liter bahan api bagi setiap 100 kilometer (km) selain pembebasan karbon dioksida sebanyak 85 gram/km.

  Keluasan kabin Volkswagen Golf Mk VII lebih luas berbanding model sebelumnya, sekali gus memberi kelegaan kepada penumpang hadapan dan belakang.

  Ia lebih panjang sehingga 56 milimeter (mm) dengan mencatatkan bentuk keseluruhan sehingga 4.255 meter (m).

  Walaupun sebuah kenderaan kompak, ruang butnya turut ditingkatkan apabila ia lebih rendah untuk memudahkan penggunanya memunggah barang, selain mampu diisi dengan beban sehingga 380 liter.

  Penambah baik pada model itu ternyata memberi kekuatan bagi kenderaan kompak ini untuk membezakannya dengan model terdahulu.

  Bentuk luar dengan rekaan yang tidak ketinggalan zaman terhasil menerusi gabungan dua model terdahulu iaituVolkswagen Golf Mk II dan Mk IV sekali gus menyerlah bagi kenderaan kompak.

  Walaupun jentera ini direka untuk pemanduan santai dan berbeza dengan spesifikasi GTI, ia masih lagi tampak gah dan sporty serta aerodinamik.

  Lampu hadapan sedikit tirus yang kelihatan bersambung dengan jeriji hadapan memberi dimensi baru bagi watak kenderaan generasi ketujuh itu.
  
  Garisan sisi pada bahagian tepinya membuatkan susuk badannya kelihatan menarik untuk memberi aliran angin yang optimum.



























No comments:

Post a Comment