![]() |
Jazeman Jaafar |
Pelumba remaja handalan,
Jazeman Jaafar bakal melangkah ke kejuaraan berprestij, Formula Renault 3.5
(FR3.5) bagi saingan musim 2013, kejuaraan yang bakal merealisasikan impiannya
untuk menjadi pelumba Formula Satu (F1) satu hari nanti.
Pelumba berusia 20 tahun ini terus mendapat sokongan PETRONAS bagi menyertai siri FR3.5 ini, dan sekali lagi akan bersama pasukan Carlin, pasukan sama yang melonjakkan karier perlumbaannya dalam saingan Formula 3 Britain (F3) sepanjang tiga tahun lepas.
“Saya begitu gembira setelah disahkan akan menyertai FR3.5 pada tahun 2013 dan sudah tidak sabar untuk berada di petak mula dalam Kejuaraan Siri Dunia Renault ini. Selepas melalui musim yang hebat di dalam siri F3, berita ini cukup menakjubkan."
“Saya sangat-sangat berterima kasih kepada PETRONAS kerana meneruskan sokongan dan percaya terhadap kemampuan saya. Saya cukup berbangga dapat beraksi bersama jenama berprofil tinggi dalam dunia sukan global hari ini,” jelas Jazeman sewaktu membuat pengumuman tentang penyertaannya dalam saingan FR3.5 hari ini.
FR3.5 merupakan kejuaraan utama dalam Kejuaraan Siri Dunia oleh Renault yang diiktiraf sebagai perlumbaan perantara sebelum pelumba melangkah ke F1, kejuaraan tertinggi dalam sukan pemotoran.
Pemandu dari Program Bakat PETRONAS itu menambah, “Saya telah menguji jentera FR3.5 baru-baru ini dan sukakan cabarannya. Ia lebih berkuasa dan lebih teknikal berbanding jentera F3, jadi masih banyak yang perlu saya pelajari. Saya juga perlu mempunyai stamina dan kecergasan yang lebih tinggi memandangkan pengendalian jentera ini mementingkan keupayaan fizikal selain masa perlumbaannya juga lebih lama.”
Jenama Carlin telah telah melahirkan ramai pelumba bintang termasuklah Sebastian Vettel, Jaime Alguersuari dan Jean-Eric Vergne yang telah mencipta nama di F1, kesemuanya lahir dari pasukan Carlin’s Formula Renault 3.5.
“Saya cukup selesa kerana terus bersama Carlin. Seluruh pasukan ini sudah seperti keluarga saya sendiri. Saya tahu bagaimana cara mereka bekerja, mereka mempunyai kualiti yang tinggi selain sama-sama mempunyai keinginan untuk menang yang telah membawa kami mencapai kejayaan musim ini dan mudah-mudahan ia akan berterusan.”
Tahun ketiga Jazeman dalam saingan Formula 3 Britain pada tahun lepas berakhir dengan cukup cemerlang. Secara keseluruhan, Jazeman mengumpul 306 mata untuk berada di tangga kedua keseluruhan dengan pencapaian tiga kemenangan, 15 kedudukan podium dan 21 kali berada di kelompok lima pelumba teratas dalam 29 perlumbaan keseluruhan.
Selain itu, saingan pada kejuaraan FR3.5 turut menyaksikan Jazeman akan beraksi di lokasi baru termasuklah litar terkenal dan menjadi ikon dalam sukan pemotoran, Litar Monaco, yang mana saingan FR3.5 turut menjadi perlumbaan sokongan kepada Formula 1 Grand Prix Monaco.
“Saya tidak sabar untuk beraksi di litar baru seperti Monaco dan Moscow selain turut kembali ke beberapa litar kegemaran saya dalam saingan di Eropah termasuklah Spa-Francorchamps, Hungaroring dan Catalunya. Selain itu, sebagai persiapan sebelum memulakan perlumbaan pusingan pembukaan di Sepanyol pada penghujung April nanti, kami akan mengadakan beberapa sesi latihan dan ujian lagi.”
No comments:
Post a Comment