Thursday, 14 March 2013

Ford Focus ST ‘Hot Hatch’ Paling Laris Eropah


Ford Focus ST ialah hot hatch (hatchback berprestasi tinggi) paling laris di Eropah dalam tempoh tiga bulan terakhir 2012, berasaskan perangkaan pembekal data risikan automotif POLK; menguasai 44 peratus daripada jumlah jualan dalam tempoh ini, mengatasi VW Golf GTI pada tahap 33 peratus dan Renault Megane Sport pada tahap 12 peratus.

Sejumlah 1,984 Focus ST telah dijual dalam tempoh ini; dalam pada itu, ia juga merupakan hot hatch paling laris di U.K., Denmark, Norway, Finland, Hungary, Switzerland, Sweden dan Belanda.

Ford telah menjual sejumlah 3,819 Focus ST baru di Eropah sejak dilancarkan – 74 peratus hatchback dan 26 peratus wagon.  Warna paling popular ialah Frozen White (41 peratus), diikuti Panther Black (28 peratus) dan Tangerine Scream (17 peratus).

Dilengkapi dengan enjin 2.0-liter EcoBoost, Focus ST generasi ketiga ialah kereta prestasi global sebenar pertama Ford, selepas dilancarkan di Amerika Utara, Eropah dan pasaran lain tahun lepas. Focus ST telah diperkenalkan buat julung kalinya di Malaysia September lepas, iaitu negara pertama di ASEAN, diikuti oleh pelancaran di Singapura, dan Hong Kong.  Pelancaran selanjutnya di rantau Asia Pasifik akan dibuat lewat tahun ini.

Focus ST baru telah dipilih sebagai “Hot Hatch Terbaik” oleh majalah U.K. Auto Express dan versi wagon telah diisytiharkan sebagai “Hot Hatch Terbaik Tahun Ini” oleh majalah Top Gear. Majalah automotif utama di Denmark, Bilmagasinet, juga telah memilih Focus ST sebagai kereta terbaik dalam segmennya.


No comments:

Post a Comment