Friday, 8 February 2013

Honda Malaysia Sasar Jualan 64,000 Unit bagi 2013


Honda Malaysia Sdn. Bhd. telah menganjurkan majlis malam media untuk meraikan pencapaian Syarikat yang terus kukuh pada tahun 2012, selepas bangkit daripada cabaran-cabaran yang dihadapinya sebelum ini. Bertemakan 'The Future Starts Now', Honda Malaysia turut berkongsi pencapaian-pencapaiannya sepanjang tahun 2013 dan memberikan sedikit sebanyak maklumat mengenai pelan agresifnya untuk 2013.

Syarikat telah menetapkan sasaran untuk mencapai jualan sebanyak 64,000 unit kenderaan dan perkongsian pasaran sebanyak 10 peratus pada tahun 2013. Ia juga berhasrat untuk mencatat jualan sebanyak 100,000 unit menjelang tahun 2017. Peneraju segmen kereta hibrid ini juga terus mengukuhkan posisinya selaku jenama No.1 dalam aspek kualiti dan kenderaan cekap tenaga.

Yoichiro Ueno, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Yoichiro Ueno dalam ucapannya berkata, "2013 merupakan tahun untuk kami melancarkan operasi pengukuhan dalam usaha peralihan ke arah pasaran yang semakin kompetitif. Kami kini sedang membina imej jenama yang lebih kukuh dengan agresif dan memaksimumkan segala usaha demi memperbaiki diri untuk pertumbuhan pada masa depan. Honda Malaysia juga menjajarkan fokusnya dengan strategi global Honda Motor dan mengukuhkan volum jualannya. Kami akan memperkenalkan model-model baharu yang menarik pada setiap suku tahunan, termasuklah tiga model CKD baharu."

Ketiga-tiga model baharu itu akan membolehkan Honda Malaysia meningkatkan jualannya secara drastik. Peningkatan volum jualan tersebut disokong oleh kapasiti pengeluaran di kilangnya di Melaka yang akan ditingkatkan kepada 100,000 unit setahun sebaik sahaja saluran pengeluaran No.2 disiapkan.

Honda Malaysia juga mengukuhkan rangkaian 3S miliknya, selari dengan jumlah jualan yang semakin tinggi dan peningkatan bilangan kenderaan Honda di atas jalan raya. Jumlah pengedaran dijangka akan ditambahkan kepada 90 buah dalam tempoh tiga tahun di seluruh negara, berbanding dari 61 premis pada masa sekarang.

Rasionalisasi pengedaran juga akan dilaksanakan demi meningkatkan kemudahan, akses dan faciliti kepada para pengguna. Honda Malaysia melengkapkan usaha-usaha ini dengan pembangunan tenaga kerjanya menerusi peningkatan latihan kakitangan demi memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

Syarikat tersebut juga mengadaptasi strategi 'Selepas Jualan' yang komprehensif untuk meningkatkan imej jenamanya dan keyakinan pelanggan. Menambah baik perkhidmatan dan kepuasan pelanggan adalah fokus utama. Diikuti oleh penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan seperti ketuk badan dan cat kereta selain menguatkan asas perniagaan menerusi aspek automasi.

Secara keseluruhannya, Honda Malaysia berusaha ke arah menjadikan jenama Honda sinonim dengan produk-produk berkualiti tinggi dan perkhidmatan yang mengagumkan.

Syarikat tersebut mengotakan janjinya pada permulaan tahun 2012 untuk bangkit dengan lebih kukuh. Di sebalik, cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapinya, Honda Malaysia telah menjual 34,947 unit kenderaan. Ia menjual lebih daripada 24,000 unit pada bulan Julai hingga Disember 2012, dan mencapai sebanyak 7.7 peratus kuasaan pasaran pada separuh tahun kedua lalu. Angka ini melebihi rekod jualan pada tahun 2010. Berikutan pencapaian rekod terbaik dengan jualan sebanyak 5,045 unit pada Julai 2012, Honda Malaysia kini semakin kukuh dan menutup tahun tersebut dengan jualan bulanan hampir 4,800 unit pada Disember 2012 yang merupakan ketiga paling tinggi dalam rekod selama ini.

Menerusi tawaran rangkaian model hibrid paling luas di Malaysia, Honda terus menerajui segmen hibrid apabila terdapat hampir 14,000 unit kenderaan hibrid Honda berada di atas jalan raya di Malaysia. Mengukuhkan posisinya sebagai perintis dan peneraju pasaran dalam segmen hibrid, Honda Malaysia menjadi pengeluar kenderaan pertama di Malaysia yang memasang model-model hibrid secara CKD pada November 2012. Model hibrid pertama yang dihasilkan di kilangnya di Melaka iaitu Jazz Hybrid CKD menambah satu lagi pilihan kenderaan yang cekap tenaga bersama ciri-ciri kompetitif pada harga berpatutan kepada pasaran. Syarikat kini benar-benar komited untuk menyokong kerajaan Malaysia dalam aspek teknologi-teknologi hijau dengan terus menawarkan lebih banyak kenderaan cekap tenaga ke pasaran Malaysia.

Melihat kepada pencapaian di sebalik keadaan mencabar yang terpaksa ditempuhinya pada tahun 2012, penanda aras untuk Honda Malaysia adalah lebih tinggi bagi tahun 2013. Syarikat menjangka untuk mengatasi prestasi sasaran jualan dan anugerah-anugerah yang diterima  pada tahun lepas: dua anugerah Car of The Year Awards dan Best Hybrid Car Award yang dikalungkan kepada CR-Z, anugerah Best Sub-compact Passenger Car Award yang dimenangi oleh City, kedudukan No. 1 dalam Kaji Selidik Kualiti Awal (IQS) oleh pihak JD Power untuk komitmen ke arah memastikan kepuasan pelanggan yang dicapai oleh model Honda City dan Civic, dan anugerah model berkualiti tertinggi dalam skor keseluruhan yang dirangkul oleh Civic.

Barisan pengurusan tertinggi Honda Malaysia


Honda City juga menggunguli rating keselamatan dalam ujian pelanggaran Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN New Car Assessment Programme, ASEAN NCAP) baru-baru ini. Kereta sedan keluarga pilihan itu diberi penarafan lima bintang dalam aspek Perlindungan Penumpang Dewasa. Pencapaian sebanyak 81 peratus dalam aspek Perlindungan Penumpang Kanak-kanak dalam kalangan lapan kenderaan lain yang menjalani ujian sama.

Mengulas mengenai pelan Honda bagi tahun 2013, Ueno berkata, "Hala tuju kami untuk tahun 2013 akan menyumbang kepada visi Honda Malaysia 2020 di mana posisi peneraju teknologi mesra alam kami adalah kukuh dan tidak dapat disangkal. Kami juga membayangkan untuk mengimplementasikan teknologi hijau di Malaysia memandangkan penerimaannya akan bertambah baik. Honda Malaysia turut berhasrat menjadikan kos lebih kompetitif demi menawarkan produk dengan nilai jenama yang tinggi pada harga berpatutan."

Honda Malaysia mengulangi komitmen terhadap perniagaannya di Malaysia menerusi pengenalan produk-produk yang inovatif dan menginovasi cara Honda beroperasi. Menurut  Ueno, "Berbekalkan inovasi dan komitmen yang lebih kukuh, kami melihatkan 2013 sebagai mercu tanda penting. Kami akan terus berusaha untuk menjadi syarikat yang masyarakat mahu ia wujud dengan menawarkan produk-produk dan perkhidmatan berkualiti paling tinggi kepada pelanggan-pelanggan kami."





Ford Fiesta Peroleh Markah Tertinggi Dalam ASEAN NCAP


Ford Fiesta 1.6L telah menerima pengiktirafan 5 bintang untuk kategori Perlindungan Penumpang Dewasa dan 66% markah bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak dalam ujian pelanggaran oleh ASEAN NCAP baru-baru ini.
Dengan struktur kerangka yang mengikut standard antarabangsa, Ford Fiesta 1.6 ini telah menggunakan besi yang bergred terbaik bagi memberikan jaminan keselamatan yang lebih jitu.Malah kerangkanya juga telah direka bentuk dengan penuh terperinci dan berkualiti tinggi bagi tujuan perlindungan kepada pemandu dan penumpang. 


Stereng berkuasa E-PAS turut memberikan keselesaan kepada pemandu untuk mengendalikan kenderaan terutamanya jika melalui jalan yang berliku dan berselekoh tajam.
Selain daripada itu, model ini turut dilengkapi dengan beg udara yang mampu melindungi pemandu dan penumpang jika terbabit dengan kemalangan. 




Suzuka Diperkenalkan Dalam kalendar ARRC 2013


Berita baik menemui para peminat sukan permotoran apabila penganjur Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS  (ARRC) mengumumkan venue berprestij, Litar Antarabangsa Suzuka akan diperkenalkan dalam kalendar perlumbaan 2013,  sekaligus menjadi litar Jepun kedua memainkan peranan selaku hos ARRC selain Litar Autopolis yang terletak di Wilayah Oita.

Bermula di Litar Sepang (18-21 April) diikuti Litar Sentul di Indonesia (16-19 Mei) dan Litar Antarabangsa Madras di India (11-14 Julai), Litar Suzuka bakal menjadi venue Pusingan 4 dari 29 Ogos hingga 1 September sebelum beralih ke Litar Autopolis pada minggu berikutnya (4-8 September).


Sementara itu, Litar Antarabangsa Losail, Qatar kekal sebagai tuan rumah saingan penutup musim (20-23 November).

“Kami cukup berbangga kerana Litar Suzuka turut berada dalam kalendar ARRC pada tahun ini. Litar ini merupakan antara litar terbaik di dunia, dan begitu mencabar untuk perlumbaan motosikal. Sesuatu yang sangat menarik apabila dapat melihat saingan SuperSports 600cc, Underbone 115cc dan Piala Impian Asia dapat dilangsungkan di sini,” kata Ron Hogg, Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing, promoter acara ARRC.

“Kami percaya semua pasukan dan pelumba cukup teruja dapat beraksi di Suzuka. Sama seperti di Autopolis, suasana di sini cukup meriah dan begitu ramai peminat. Ini adalah peluang promosi yang cukup baik bagi Kejuaraan dan rakan-rakan penaja dengan kehadiran pelumba-pelumba hebat di padok ARRC.”

“Tambah menarik, dua perlumbaan berturut-turut dalam tempoh dua minggu dari Litar Suzuka ke Autopolis juga merupakan pengalaman baru buat semua pasukan dan pelumba-pelumba. Selain Suzuka, tahun ini kontinjen ARRC turut berpeluang untuk berlumba di Litar Madras sekali lagi yang baru sahaja dinaik-taraf,” tambah Ron.

Terletak di dalam Wilayah Mie, Litar Suzuka kaya dengan sejarah sebagai pusat sukan permotoran Jepun. Berkeluasan 5,821 meter panjang, litar ini memainkan peranan sebagai tuan rumah kepada banyak acara berprestij seperti FIM Suzuka 8-Hour Endurance Road Race dan beberapa acara perlumbaan empat roda termasuk Formula Satu.


Kalendar ARRC 2013
Ujian rasmi  21 & 22 Februari


Pusingan 1        Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia         18-21 April


Pusingan 2        Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia          16-19 Mei


Pusingan 3        Madras Motor Race Track, India                 11-14 Julai
Pusingan 4        Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun              31 Ogos - 1 September


Pusingan 5        Litar Antarabangsa Autopolis, Jepun           4-8 September 2013


Pusingan 6        Litar Antarabangsa Losail, Qatar                 20-23 November 2013

Wednesday, 6 February 2013

Honda City Terima Pengiktirafan ASEAN NCAP



Honda City telah menerima pengiktirafan 5 bintang daripada ASEAN NCAP bagi Perlindungan Penumpang Dewasa dan juga rating tertinggi untuk Pelindungan Penumpang Kanak-kanak.

Bersaing dengan 8 model kereta yang sama segmentasi dengannya, Honda City telah diberikan pengiktirafan ini setelah menjalani ujian pelanggaran dengan kelajuan 64 kilometer sejam di Akademi JPJ Melaka oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).


Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno berkata, "Kami sangat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Ujian pelanggaran yang dilakukan oleh ASEAN NCAP ini membuktikan bahawa Honda City selamat digunakan. Tahap keselamatan merupakan keutamaan dan komitmen bagi Honda. Malah Honda juga sangat komited dalam penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan teknologi terkini yang boleh diguna pakai bagi memberikan penambah baikan daripada segi aspek keselamatan pemandu dan penumpang."





Vespa LX150 Edisi Apple

JENAMA Vespa sudah tidak asing lagi dan ia menjadi sebati dengan jiwa masyarakat tempatan.

Sejak dari dulu lagi, jentera dua roda itu menjadi pengangkutan utama yang boleh dilihat menerusi kaca televisyen dalam tayangan cerita-cerita lama.

Malah, ia menjadi ikon yang cukup menarik sehingga ada segelintir masyarakat tempatan sanggup membelanja lebih untuk memiliki model berkenaan tidak kira yang baru atau lama.

Menerusi pengedar tunggal Vespa negara ini, Naza Premira Sdn Bhd memperkenalkan Vespa LX150 edisi Apple yang hanya mempunyai 168 unit sahaja.

Ia boleh dikategorikan sebagai barangan koleksi bagi mereka yang meminati model Vespa.

Jentera dua roda itu diselaputi warna putih selain didatangkan pelekat Apple pada bahagian kerangkanya.

Motosikal yang diimport dari Vietnam itu didatangkan dengan tempat duduknya warna putih.

Edisi terhad itu dijual pada RM11,388 dan menjadi barangan koleksi peribadi yang menarik.

Ini ada gambar untuk Vespa edisi terhad itu.










Tuesday, 5 February 2013

Maserati GranTurismo Sport Kini Di Malaysia

Kelajuan maksimum yang mampu direkodkan ialah 298 kilometer sejam (km/j) dengan catatan daripada titik pegun sehingga 100 km/j hanya dalam tempoh 4.8 saat!

Itulah kelebihan yang ada pada supercar berharga RM1.118 juta ini. Maserati GranTurismo Sport telah dilancarkan bagi pasaran Malaysia semalam di bilik pameran Naza Italia Sdn.Bhd, Petaling Jaya. 



Semasa majlis pelancarannya di Naza Italia Sdn.Bhd

Dengan enjin 4.7 liter V8, model ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 460hp dengan tork maksimum 520Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan (MC Auto Shift) dan Electro-Actuated enam kelajuan (MC Shift). 

Model ini turut didatangkan dengan Sport Skyhook iaitu sistem aktif redaman generasi baru untuk mendapatkan kuasa pemberhentian secara maksimum. 


Maserati GranTurismo Sport ini telah meneruskan kegemilangan tradisi GranTurismo iaitu salah satu model kenderaan yang meraih kejayaan di dalam sejarah Maserati sendiri. 









Friday, 1 February 2013

Proton Saga FLX Dianugerahkan 3 Bintang Dari ASEAN NCAP



Proton Saga FLX telah dianugerahkan tiga bintang dalam ASEAN NCAP (New Car Assessment Programme) baru-baru ini.

Ia merupakan ujian perlanggaran pertama ASEAN NCAP yang diadakan di makmal ujian kemalangan PC3, Akademi JPJ Melaka oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Menurut Pengerusi Eksekutif PROTON Holding Berhad, Dato' Sri Haji Mohd Khamil Jamil, pengiktirafan yang diterima ini membuktikan bahawa pesepsi terhadap jenama Proton telah jauh berubah, iaitu mampu menghasilkan kereta yang berkualiti dan berbaloi untuk dimiliki.

Malah dengan pengiktirafan daripada ASEAN NCAP ini, ia turut melambangkan komitmen jitu bagi Proton dalam menghasilkan Proton Saga FLX sebagai kereta yang selamat dipandu.